[VIDEO] Gajah ceroboh kawasan penduduk di Kluang, mana pihak berkuasa?


  • Tular
  • Khamis, 12 Jan 2023

Gelagat dua ekor gajah itu sempat dirakamkan penduduk setempat.

KEHILANGAN habitat akibat penerokaan hutan dan kekurangan sumber makanan antara punca pencerobohan gajah di kawasan pertanian serta penempatan manusia.

Walaupun sukar diatasi, masalah itu mampu diselesaikan sekiranya beberapa tindakan seperti memberikan laluan khas kepada kawanan mamalia itu bergerak bebas dalam hutan.

Namun perkara tersebut tidak berlaku apabila tular sebuah video di media sosial seekor gajah bersama anaknya sedang mencerobohi sebuah rumah di Kluang, Johor pada Rabu.

Gelagat dua ekor gajah itu sempat dirakamkan penduduk di perumahan terbabit.

Pencerobohan itu mengakibatkan pagar salah sebuah rumah di kawasan tersebut rosak ekoran dirempuh dua ekor haiwan terbabit.

Namun timbul persoalan orang ramai di media sosial apakah tindakan pihak berwajib tentang kejadian yang berulang ini?

Menurut Burhan Ppsp, selagi kegiatan pembalakan hutan tidak dihentikan masalah ini tidak akan selesai.

"Selagi tak hentikan pembalakan dan pembukaan hutan masalah ini tidak akan selesai,kalau selesai pun pasti gajah itu dimusnahkan," katanya.

Orang ramai turut, mempersoalkan di manakah sikap tanggungjawab pihak berwajib sehingga membiarkan haiwan terbabit berkeliaran ke kawasan penempatan manusia selepas memusnahkan habitatnya.

"Please stop! Tarah hutan sana sini dan cemar alam sekitar, kasihan dekat haiwan yang terancam dan hilang habitat mereka.

"Mana pergi sikap berperikemanusiaan? Mana pihak bertanggungjawab? Jangan hanya setakat pegang jawatan tapi kerja tak jalan," ujar Yus Nizar.

Dalam pada itu, seorang warga emas M Pavayee Ammah, 83, berkata, dia menyedari kehadiran gajah dewasa dan anak gajah itu setelah mendengar bunyi bising seolah-olah bunyi rempuhan di luar kediamannya.

Katanya, beliau melihat di balik pintu dan ternampak dua ekor gajah telah merempuh pagar rumah selain melihat penduduk sekitar cuba menghalau kedua-dua ekor binatang itu ke hutan berhampiran

"Saya terus menggigil ketakutan apabila melihat gajah berkenaan berada di halaman rumah, selain turut terdengar jeritan penduduk agar saya tidak keluar rumah.

"Saya difahamkan gajah berkenaan sebelum itu telah memasuki kawasan tanaman berhampiran sebelum dihalau penduduk dan kemudiannya ke kawasan perumahan di sini,” katanya, di Kluang, Johor pada Khamis.

Seorang lagi penduduk M. Alangovan, 67, bimbang dengan kehadiran haiwan itu yang kerap muncul, akhir-akhir ini.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Johor Aminuddin Jamin mengesahkan kejadian dua ekor gajah memasuki taman perumahan itu kira-kira 9.30 malam Rabu.

Beliau berkata, mamalia itu dipercayai terpisah daripada kumpulannya dan pihaknya sudah mengambil tindakan awal dengan menghalau gajah berkenaan ke hutan berhampiran yang terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan perumahan itu.

Katanya pemantauan akan terus dilaksanakan dengan menggunakan dron bagi memastikan gajah tersebut kembali ke habitat asal serta tidak tersasar dengan memasuki kawasan penempatan.

Sebelum ini Majoriti pernah melaporkan, satu kejadian remaja lelaki Orang Asli mati dipijak, ditendang dan dilambung seekor gajah liar di Lipis, Pahang.

Kejadian ngeri itu berlaku hanya sebulan selepas seorang wanita Orang Asli maut diserang kawanan gajah liar di Pos Betau, Lipis pada 6 Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram