Teruja Ahmad Zahid jadi menteri, orang Asli di Gua Musang kini bergantung harap


  • Massa
  • Ahad, 04 Dis 2022

Masyarakat Orang Asli Gua Musang berharap kerajaan baharu dapat menyegerakan jalan perhubungan kawasan penempatan yang masih menggunakan jalan balak.

MASYARAKAT Orang Asli di daerah Gua Musang, Kelantan berharap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dengan sokongan beberapa parti politik akan terus membela nasib serta memberi perhatian kepada isu pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi mereka.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, mereka juga berharap kerajaan baharu dapat menyegerakan jalan perhubungan kawasan penempatan yang masih menggunakan jalan balak seperti di Pos Balar, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi.

"Sebelum ini penduduk di kawasan terlibat berdepan risiko bergadai nyawa apabila melalui jalan balak yang rosak terutamanya ketika musim tengkujuh,

"Saya yakin beberapa isu yang dihadapi kami misalnya berkenaan pendidikan anak-anak Orang Asli, infrastruktur dan prasarana di beberapa pos penempatan dapat diatasi selayaknya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya kepada pemberita di Pos Brooke, Gua Musang pada Ahad.

Penghulu Kampung Perawas Alek Busu, 60, dari Pos Balar pula mengharapkan projek pembangunan bersepadu dapat dilaksanakan di kawasan perkampungan Orang Asli Gua Musang secepat mungkin.

"Aduan mengenai keperluan jalan bertar atau sekurang-kurangnya menggunakan kaedah sapu jalan kerap dibangkitkan oleh penduduk sekitar terhadap pihak berwajib," katanya.

Alek berkata, masyarakat Orang Asli juga amat teruja dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan berharap dapat bertemu dengan pemimpin itu.

"Kami berharap suatu hari nanti Timbalan Perdana Menteri dapat datang bertemu kami di Gua Musang, pada masa yang sama beliau dapat meninjau sendiri keadaan jalan balak dan kesusahan yang dihadapi oleh kami,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram