[VIDEO] Polis dedah punca sebenar lelaki terajang doktor tua lepas kemalangan di Ampang


  • 112
  • Selasa, 21 Mac 2023

Tangkap layar suspek menyerang seorang doktor berusia 67 tahun di Ampang yang tular di media sosial.

POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan ugutan terhadap seorang lelaki warga emas dalam satu kejadian di sekitar Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang menaiki kereta jenis Mercedes berwarna putih melanggar bahagian belakang kereta dipandu seorang doktor berusia 67 tahun di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama, Ampang, Selangor.

"Apabila tiba di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran, kereta mangsa dihalang dari arah hadapan oleh kereta suspek yang kemudian turun dan membuka pintu kereta doktor berkenaan.

"Suspek kemudian menumbuk pipi kanan selain menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit. Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya sehingga tular dalam media sosial," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, suspek berumur 27 tahun ditahan pada 9.45 malam Isnin di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya setelah hadir memberi keterangan.

"Suspek memukul mangsa kerana tidak berpuas hati selepas arahannya supaya memberhentikan kenderaan tidak diendahkan mangsa setelah kenderaan mereka berlanggar," katanya dan menambah permohonan reman akan dibuat pada Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya negatif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram