Penduduk kampung halau gajah, punca remaja lelaki maut dipijak di Lipis


  • 112
  • Rabu, 11 Jan 2023

Remaja orang Asli yang maut akibat dipijak gajah di Pos Senderut, Lipis. — PDRM

SEORANG kanak-kanak dilaporkan maut akibat dipijak gajah dalam kejadian di Pos Sinderut, Lipis di Pahang pada Isnin.

Mangsa Andy Yok Manin, 15 diserang gajah berkenaan ketika berada di dalam kebun durian bersama ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, serangan gajah itu dipercayai bermula dari Kampung Regang yang kemudiannya dihalau oleh orang kampung lalu menghala ke kawasan kebun durian di mana mangsa berada.

"Siasatan awal mendapati seorang lelaki asli meninggal dunia yang dipercayai punca kematian akibat diserang oleh gajah liar

"Anggota Balai Polis Sungai Koyan bawa mangsa ke unit forensik hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, perkhabaran duka itu mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan beliau menzahirkan perasaannya menerusi kenyataan di akaun Facebook miliknya.

“Saya menerima perkhabaran sedih mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan maut akibat dipijak gajah dalam kejadian di Pos Sinderut, Lipis iaitu dalam kawasan saya pada Isnin.

“Saya telah mengarahkan Unit Hal Ehwal Orang Asli, Pejabat Menteri Besar Pahang untuk menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan saya berharap mereka tabah menerima ujian ini,” katanya di Facebook.

Sebelum ini kejadian yang sama turut berlaku di Kampung Simoi yang juga membabitkan kematian seorang wanita orang Asli akibat dipijak gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau pada 7 Disember tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram