[VIDEO] Lelaki maut, motosikal terbakar selepas langgar lori di Sungai Buloh


  • 112
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah lori di Sungai Buloh, Selangor.

SEORANG lelaki maut selepas melanggar sebuah lori di kilometer 425.3, Lebuh Raya Utara Selatan, Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu.

Lebih menyedihkan, motosikal mangsa dilaporkan terbakar selepas melanggar bahagian belakang lori tersebut yang berada di laluan kecemasan ketika kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.08 pagi Sabtu.

Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, didapati sebuah motosikal jenis Demak yang ditunggang lelaki berusia 26 tahun itu terbakar lebih 50 peratus.

“Kenderaan itu terbakar selepas melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan laluan kecemasan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hafisham, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram