Mangsa banjir Johor, Pahang terima baucer RM300 beli barangan elektrik


  • Massa
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Mangsa banjir di Johor dan Pahang akan menerima bantuan baucer RM300 barangan elektrik. — Awani

SERAMAI 1,000 mangsa banjir daripada golongan miskin tegar dan B40 di Johor serta sebahagian Pahang bakal menerima baucer bernilai RM300 di bawah inisiatif Payung Rahmah, khusus untuk membeli peralatan elektrik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, baucer itu bertujuan membantu golongan terkesan khususnya di Batu Pahat dan Segamat, Johor membeli peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk, bagi menggantikan peralatan yang musnah akibat bencana.

Beliau berkata, hasil berkolobrasi antara pihaknya dengan syarikat-syarikat pengeluar barangan elektrik, mangsa banjir itu juga akan ditawarkan untuk membeli peralatan elektrik pada harga diskaun.

"Syarikat-syarikat ini mungkin akan menjual pada harga diskaun dan pada masa yang sama KPDN akan tambah RM300 lagi menerusi baucer itu untuk mereka membeli peralatan baharu bagi menggantikan yang musnah akibat banjir," katanya.

Katanya, semua data mengenai agihan inisiatif itu akan dilakukan oleh pegawai kementeriannya bermula Sabtu, bagi memastikan mereka yang menerimanya adalah benar-benar dari golongan miskin tegar dan B40 yang terkesan akibat banjir.

Salahuddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Melaka di Kota Fesyen, MITC Ayer Keroh, Melaka pada Sabtu.

Setakat pagi Sabtu, Batu Pahat masih menjadi daerah yang paling terjejas dengan banjir, melibatkan 21,089 mangsa daripada 6,031 keluarga ditempatkan di 81 PPS manakala Segamat pula masih terdapat 38 mangsa yang terjejas daripada 13 keluarga dan mereka ini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram