Kerajaan tangguh permohonan, kelulusan kuota pekerja asing serta-merta


  • Primer
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Antara pekerja asing yang berkhidmat di tapak pembinaan di Johor Bahru, Johor pada 2008.

PERMOHONAN dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA), ditangguhkan bermula Sabtu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata, keputusan tersebut dibuat, selepas Kementerian Sumber Manusia (KSM) meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing daripada pelbagai sektor setakat Selasa lepas.

Beliau berkata, jumlah kelulusan kuota itu turut mengambil kira permohonan kuota pekerja asing yang diproses secara biasa dan menerusi PKPPA, merangkumi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

"Kelulusan kuota pekerja asing setakat ini, dijangka dapat memenuhi keperluan guna tenaga asing oleh industri termasuk di sektor kritikal," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, beliau berkata, penangguhan tersebut dibuat bagi memastikan bahawa majikan yang diberikan kelulusan kuota, untuk mula membuat perancangan bagi kemasukan segera pekerja asing yang diperlukan.

"Saya menggesa semua majikan yang telah diluluskan kuota pekerja asing, untuk menyegerakan proses kemasukan pekerja dalam tempoh masa ini.

"Tambahan pula, jumlah kemasukan pekerja asing masih rendah, berbanding jumlah kuota yang telah diluluskan oleh KSM," katanya.

Sebelum ini, KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri melaksanakan PKPPA bermula 17 Januari sehingga 31 Mac ini, untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal iaitu perladangan, perkilangan,pembinaan,pertanian dan perkhidmatan (restoran). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram