DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan empat premis ditutup berikutan kegagalan mencapai tahap kebersihan, berkuatkuasa pada Jumaat.
Menerusi hantaran di laman Facebook, DBKL berkata, arahan itu dikeluarkan ketika Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) melibatkan 25 premis makanan di sekitar Jalan Kuchai Maju, Seputeh, Kuala Lumpur bermula pukul 7.30 malam Khamis.
DBKL berkata, penutupan premis dilaksanakan di bawah UUK 28(1) UUKPPM (WPKL) 2016.
Keadaan tempat menyimpan makanan di salah sebuah premis yang ditutup. — Facebook DBKL
Sementara itu, sebanyak 42 notis kompaun di bawah UUK PPM (WPKL) 2016, UUK Pengendali Makanan 1979 dan Akta Jalan, Parit & Bangunan 1976 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Hasil pemeriksaan mendapati, pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan tifoid dan Kursus Asas Penyediaan Makanan.
"Selain itu, terdapat majikan mengambil pekerja warga asing tanpa permit yang sah dan menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
"Bukan itu sahaja, perangkap minyak tidak dipasang dan tidak diselenggara dengan sempurna, lantai dapur atau tempat penyediaan makanan kotor, berdaki hitam dan terdapat sisa makanan," katanya.
Antara keadaan menjijikkan di salah sebuah premis yang diarahkan tutup. — Facebook DBKL
Tambah DBKL, lain-lain kesalahan termasuk menjalankan aktiviti perniagaan di kaki lima dan lorong belakang, selain terdapat urungan lipas dan najis tikus.
Keadaan lantai kotor di salah sebuah premis. — Facebook DBKL
Malah, katanya, terdapat peniaga yang meletakkan bahan makanan secara terus di atas lantai.
"Ada juga yang meletakkan halangan kerusi dan meja di atas kaki lima jalan," katanya.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan dengan kekuatan 31 orang anggota daripada Pejabat Kesihatan dan Penguatkuasaan.
"DBKL akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram