Dua maut rempuh belakang treler rosak, tersadai tengah jalan pagi buta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai


  • 112
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Satu kemalangan berlaku membabitkan sebuah treler dan lori di Kelantan pada pagi Sabtu. — Facebook/Info dalam Kuala Krai

SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler rosak, yang diletakkan di tengah jalan di Kilometer 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa menaiki lori kecil membawa muatan cat dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu, Kelantan pada pukul 6.45 pagi.

"Kejadian mengakibatkan pemandu lori Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindannya Nik Mohamad Nasrullah Mohd Nizam, 26, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati, treler yang membawa muatan barangan besi itu berhenti di tengah-tengah jalan akibat mengalami kerosakan pada kotak gear,” katanya menerusi sebuah kenyataan.

Choon Foo berkata, jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram