Pelakon dan kru 'Mentega Terbang' terima 2 ugutan seawal 3 pagi


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Kru dan pelakon filem Mentega Terbang dilaporkan menerima ugutan daripada individu tidak dikenali.

DUA ugutan bunuh terhadap pelakon dan kru filem kontroversi "Mentega Terbang" dibuat pada hari yang sama tetapi pada masa yang berbeza, kata polis.

"Kejadian pertama berlaku di tempat letak kereta terbuka di Taman Dagang Jaya, Ampang sekitar pukul 6.30 pagi Khamis," kata Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Pengadu membuat laporan bahawa keretanya dilempar cat selain nota berunsur kecaman turut ditinggalkan berhampiran kenderaannya," katanya.

Turut menambah, kejadian serupa turut berlaku di Kajang kira-kira pukul 3.15 pagi pada hari yang sama.

“Pengadu kes terbabit turut menerima ugutan menerusi mesej di telefon yang disasarkan kepada dirinya dan keluarganya,” katanya.

Hussein berkata, pihak polis memandang serius perkara itu.

"Kami akan menangkap suspek dan bawa kes ini ke muka pengadilan. Kami ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-978 8804 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Inspektor Alif di talian 018-983 4211 di IPD Ampang atau balai polis berhampiran, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram