BAJET 2023 yang bakal dibentang oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini, menimbulkan tanda tanya tentang habuan yang akan diperoleh rakyat.
Bukan itu sahaja, rakyat juga sudah semestinya mahu peruntukan diberi sama rata, selain tidak mahu berdepan dengan perkara yang menyebabkan kesukaran di kemudian hari.
Malah, antara perkara yang menjadi perhatian dalam bajet itu adalah pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pada 7 Oktober lalu, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara membabitkan GST tidak diumumkan di dalam Bajet 2023 yang sudah dibentangkan.
Abu Sofian
Bersetuju dengan pelaksanaan semula cukai itu, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kadar yang dikenakan perlulah bermula dengan kadar minima dua hingga tiga peratus.
Pakar ekonomi itu berkata, ia kemudian boleh dinaikkan secara perlahan-lahan bergantung dengan keadaan ekonomi.
Pada masa sama, beliau menyarankan kerajaan memperhalusi tiga kategori barangan sama ada perlu dikenakan GST.
"Kategori pertama adalah barangan dikecualikan cukai iaitu barangan keperluan asas seperti makanan.
"Kategori kedua pula adalah zero rate (kadar sifar), yang mana ia boleh dikenakan cukai bergantung kepada kos kehidupan.
"Kategori ketiga pula adalah barangan bukan keperluan asas dan barangan mewah yang perlu dikenakan cukai," katanya kepada Majoriti.
GST dimansuhkan pada 1 Jun 2018 dan digantikan SST bermula 1 September 2018.
GST kali pertama dilaksanakan di negara ini adalah pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.
Cukai itu kemudian digantung pada 1 Jun 2018, dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan semula dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.
Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, sistem GST perlu dimantapkan lagi bagi memberi kebaikan kepada kerajaan.
Mengambil iktibar semasa pelaksanaannya suatu ketika dahulu, beliau berkata, GST bermula dengan pengeluar barangan yang mengenakan cukai itu kepada pemborong, seterusnya kepada peruncit dan pengguna.
"Selebihnya (cukai) akan dihantar kepada Jabatan Kastam Malaysia.
"Saya nampak kelemahan dari situ. Apabila cukai itu dikumpul tetapi pungutan kerajaan pula dilihat agak kurang cepat.
"Oleh itu, sistem sokongan kena dimantapkan, yang mana apabila transaksi berlaku, kerajaan perlu pungut (cukai) pada ketika itu juga dan ia tak boleh ditangguh.
"Ini boleh menambahkan pendapatan kerajaan dengan cepat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram