TAN Sri Muhyiddin Yassin adalah antara beberapa orang yang akan dipanggil polis untuk direkodkan kenyataan mereka berhubung dakwaan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan polis sedang dalam proses menghubungi presiden Bersatu dan saksi lain.
“Siasatan sedang dijalankan dan kami sedang berusaha memanggil semua yang terlibat.
"Ada yang sudah berjaya dihubungi dan kami juga sedang berusaha menghubungi yang lain kerana ada yang terlibat dalam mesyuarat Parlimen yang sedang berlangsung," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin, Asmadi berkata polis membuka siasatan fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Siasatan itu susulan laporan yang dibuat oleh setiausaha politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, terhadap Muhyiddin berhubung kenyataannya mengenai rancangan pendakwaan terhadapnya menggunakan agensi penguatkuasaan untuk mencapai matlamat politik.
Menurut Muhammad Kamil, laporan itu dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin berunsur fitnah dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Katanya, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan atau tindakan pihak berkuasa.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menyiasat mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai badan bebas," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram