SUNSURIA Berhad (Sunsuria) menganjurkan program Sunsuria City Foodiethon buat kali ketiga, yang mana acara tahun ini diadakan secara mega dan lebih meriah dengan tambahan Sunsuria City Neon Night Run yang disinari limpahan cahaya neon.
Acara yang diadakan di Sunsuria City, di Sepang, Selangor pada 8 Januari lalu itu menyaksikan kehadiran lebih 6,000 peserta, melibatkan pelari seawal usia setahun hingga warga emas 76 tahun.
Kepelbagaian generasi yang menyertainya sekali gus melahirkan rasa keseronokan bersama sebuah keluarga besar.
Acara seperti zumba aerobik dan persembahan busker secara langsung antara aktiviti menghiburkan orang ramai pada waktu siang.
Pengerusi Eksekutif Sunsuria, Tan Sri Ter Leong Yap berkata, ketika acara ini pertama kali diadakan, hanya Universiti Xiamen Malaysia ada di Sunsuria City.
"Selepas beberapa tahun menganjurkan acara ini dan menampakkan kesan positifnya, kami berhasrat membalas budi masyarakat setempat dengan mengetengahkan pelbagai pembangunan dengan ciri-ciri berkualiti termasuk daripada perspektif reka bentuk hingga kepada kehidupan sebenar.
"Ini adalah sebahagian daripada etos korporat Sunsuria iaitu G.E.M.S bermaksud Sunsurians Hebat, Berprestasi Cemerlang, Menjadikan Dunia Tempat Lebih Baik serta Organisasi Mampan (Great Sunsurians, Excellence Performance, Making the World a Better Place, Sustainable Organisation)," katanya.
Acara Sunsuria City Foodiethon Run yang berlangsung pada hujung minggu itu membariskan larian bagi kategori 5 kilometer (km) dan 10 km dengan melibatkan lebih 3,000 peserta, termasuk pelari dari 17 negara termasuk Thailand dan Amerika Syarikat (AS).
Para peserta memulakan hari dengan penuh semangat menerusi larian Foodiethon sepanjang 10 km.
Ia bermula sekitar pukul 8 pagi dengan larian 10 km dilepaskan oleh Leong Yap dan Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pembangunan Hartanah Sunsuria, Datuk Simon Kwan disusuli dengan pelepasan acara larian 5km oleh Ketua Pegawai Kewangan Sunsuria, Eng Kim Haw dan Ketua Pegawai Eksekutif (Penjagaan Kesihatan), Audrey Ooi.
Peserta dilihat bersemangat sepanjang acara itu apabila berlari di sekitar bandar Sunsuria yang indah.
Laluan mereka juga mengelilingi Universiti Xiamen Malaysia (cawangan antarabangsa pertama di luar China), melalui landskap hijau di Taman Giverny sebelum berpatah balik di Celebration Centre.
Pada pukul 9 malam, acara Neon Night Run pula menerangi sekeliling perbandaran itu, dengan kerlipan lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni, alunan muzik selain dimeriahkan dengan larian bertenaga daripada 2,800 peserta yang turut memegang kayu bercahaya dalam gelap (glow-in-the-dark), aksesori dan cat muka pelbagai warna.
Para peserta mewarnai jalan-jalan di Sunsuria City, apabila melakukan larian sambil membawa kayu bercahaya dalam gelap untuk menerangi laluan mereka hingga ke garisan penamat.
Menjelang tengah malam, Celebration Centre makin meriah apabila peserta Neon Night Run dihiburkan dengan persembahan istimewa Dennis Lau, penggesek biola elektrik terkemuka yang pernah dijemput menghiburkan pasangan diraja Britain, Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan Kate Middleton.
Dennis Lau menghiburkan para peserta larian dengan gesekan biola pada malam tersebut.
Antara aktiviti lain dalam program tersebut adalah sesi zumba aerobik, permainan karnival mesra keluarga seperti baling gelung dan tiupan buih, kuiz, persembahan penghibur jalanan atau buskers secara langsung, serta cabutan bertuah yang keseluruhannya bernilai RM10,000.
Leong Yap (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutan, iaitu dengan ganjaran Pembersih Vakum Tanpa Kord Dyson V8 Slim Fluffy+.
Selain itu, gerai makanan jalanan turut tersedia dengan menu menarik seperti sate, apam balik dan Penang Cendol, selain hidangan ringan seperti sosej, jagung, kebab, bingsu dan banyak lagi.
Sementara itu, Simon Kwan berkata, acara tersebut diadakan bagi memupuk semangat kebersamaan yang penting bagi kehidupan komuniti di kawasan perbandaran Sunsuria..
"Kami mahu memupuk gaya hidup sihat dan menganjurkan lebih banyak acara kepada pelanggan atau rakan mereka supaya dapat berinteraksi bersama pemaju bagi mendapatkan maklum balas secara langsung.
"Kami mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua dan nantikan lebih banyak acara yang telah diatur Sunsuria pada tahun ini," katanya.
Selain itu, Leong Yap berkata, pihaknya juga teruja dengan usaha perbandaran Sunsuria City termasuk Sunsuria Care yang menawarkan sokongan kesihatan kepada komuniti, serta pembangunan sekolah antarabangsa baharu dengan kerjasama Concord College, UK dan Concord College International iaitu Concord College International School.
"Kami mahu menjaga hari ini dan esok serta mempersiapkan generasi muda untuk masa depan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram