Umno: Kak Long, 2 anak Najib bukti status waris pemimpin utama tidak jamin kemenangan


  • Politik
  • Ahad, 12 Mac 2023

Dari kiri: Nooryana, Mohd Nazifuddin dan Nurulhidayah merupakan antara anak pemimpin utama Umno yang bertanding pada pemilihan kali ini.

TAMPIL sebagai sosok anak kepada pemimpin utama Umno bukan jaminan bagi seseorang calon menang dengan selesa pada pemilihan parti kali ini.

Pemilihan Umno bagi sesi 2023/2026 yang membuka tirai pada Sabtu menyaksikan beberapa keputusan mula diketahui membabitkan jawatan bagi tiga sayap parti itu iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

Ia antara lain membabitkan jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan jawatan Exco bagi setiap sayap berkenaan.

Antara yang bersaing merebut jawatan dipertandingkan itu adalah dua anak bekas Perdana Menteri yang juga mantan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa dan Datuk Mohd Naziffuddin.

Pada pemilihan kali ini, nasib dilihat terus menyebelahi Nooryana selepas beliau membuat keputusan menceburi bidang politik selepas berjaya berada pada kedudukan tiga teratas dalam pengundian bagi jawatan Exco Puteri Umno apabila meraih 100 undi.

Nooryana

Nooryana (kiri) sebelum ini menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai.

Beliau berada di belakang Nurul Syifa Ridzwan Goh dan Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahin yang berada di kedudukan teratas jawatan tersebut dengan 103 undi.

Nooryana sebelum ini menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai.

Namun begitu, nasib sama tidak berlaku kepada Mohd Naziffuddin apabila usahanya bagi merebut jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dilihat semakin tertutup selepas jauh ketinggalan di belakang pesaingnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Setakat 11.40 malam Sabtu, Mohd Naziffuddin hanya memperoleh mendapat tiga undi.

Nazifuddin

Pada Sabtu, Mohd Nazifuddin mendapat undian yang jauh ketinggalan berbanding pencabarnya, Ikmal Hazlan.

Selain Naib Ketua Pemuda Umno, beliau turut menawarkan diri bersaing bagi jawatan Ketua Bahagian Langkawi pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, anak perempuan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah gagal untuk merebut jawatan Ketua Wanita Bahagian Bagan Datuk, iaitu kawasan yang pada pemilihan kali ini dimenangi ayahnya tanpa bertanding.

Nurulhidayah yang lebih mesra di sapa Kak Long tewas di tangan penyandang jawatan tersebut iaitu Zarozatin Isa.

Nurulhidayaj

Nurulhidayah menawarkan diri untuk bersaing merebut dua jawatan pada pemilihan kali ini iaitu Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk dan Exco Wanita Umno. — Facebook

Bagaimanapun, beliau pada masa sama berjaya mendapat undi kedua terbanyak bagi jawatan Exco Wanita Umno pusat apabila memperoleh 330 undi dalam pengundian pada Sabtu.

Nurulhidayah turut berkongsikan keterujaannya terhadap keputusan itu dengan mengucapkan penghargaan kepada perwakilan yang memilih beliau ke jawatan tersebut.

"Sesungguhnya ia adalah amat luar biasa bagi saya dan keterujaan ini memberikan saya semangat untuk terus berjuang dan sedia berkhidmat dengan parti keramat Umno," tulisnya di hantaran Instagram pada Ahad.

Keputusan rasmi pemilihan kali ini akan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram