Pendaftaran Umno tak batal, KDN lulus 2 jawatan tertinggi kekal tanpa bertanding


  • Politik
  • Selasa, 07 Mac 2023

KDN memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Umno dikecualikan daripada dibatalkan pendaftarannya, mengikut Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Mengikut Seksyen 13 Akta Pertubuhan yang berkaitan pembatalan sesebuah pertubuhan, pihak menteri boleh membuat keputusan mengikut budi bicaranya berhubung perkara itu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan Umno mengenai usul tambahan tersebut dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.

"Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Umno 2022 daripada Setiausaha Agung Umno pada 3 Mac 2023," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Umno tahun ini diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu.

Ahad lepas, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan usul berkenaan membuktikan keabsahan keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2022 seterusnya menamatkan polemik mengenainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

UMNO, pemilihan, usul, KDN, Saifuddin Nasution