Muhyiddin akan didakwa hari ini


Muhyiddin bercakap kepada pemberita di hadapan pintu pagar SPRM Putrajaya pada Khamis. — Bernama

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat, berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan.

Muhyiddin bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada Khamis, SPRM mengesahkan menahan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada 1 tengah hari, selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya.

Muhyiddin kemudiannya dibebaskan dengan jaminan SPRM kira-kira pukul 8.20 malam.

SPRM sebelum ini sudah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk bekas Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, yang didakwa di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram