Pendakwaan Muhyiddin babitkan beberapa pertuduhan — SPRM


  • 112
  • Khamis, 09 Mac 2023

Muhyiddin ketika hadir di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada pagi Khamis.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan penahanan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 1 petang Khamis, di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, agensi itu memaklumkan, tindakan berkenaan dibuat semasa Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

"Sehubungan itu, SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023 (Jumaat).

"Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," menurut kenyataan itu.

Ketua Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebelum itu memaklumkan Muhyiddin dijangka kembali dibebaskan SPRM pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum ini menafikan dakwaan penyelewengan dana diterima parti Bersatu dengan menyifatkan ia sebagai fitnah politik bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau bukan suspek dalam siasatan yang sedang dijalankan apabila dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan.

SPRM telah pun mendakwa Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad atas pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Program Jana Wibawa diwujudkan pada November 2020 di bawah pentadbiran Muhyiddin untuk memperkasakan kontraktor bumiputera yang bergelut semasa pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram