Muhyiddin akan didakwa Jumaat — Azam Baki


  • 112
  • Khamis, 09 Mac 2023

Muhyiddin dikerumuni oleh para penyokongnya di ibu pejabat SPRM pada Khamis.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita, Azam berkata, ketika ini bekas Perdana Menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan,selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada pukul 11.15 pagi Khamis.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menafikan dakwaan beliau ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor, seperti dilaporkan beberapa portal media.

SPRM sebelum ini sudah membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu, Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong Muhyiddin yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak 7 pagi Khamis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram