PPS SK Seri Sejati dinaiki air, 300 mangsa banjir dipindahkan di Sri Medan


  • Massa
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Seramai 300 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan baharu susulan kenaikan air di PPS SK Seri Sejati.

LEBIH 300 mangsa banjir yang telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan Batu Pahat, Johor terpaksa dipindahkan selepas PPS berkenaan turut dinaiki air pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sehubungan itu pemindahan semua mangsa banjir di PPS tersebut serta sebahagian penduduk yang masih berada di kampung berkenaan akan dibuat secara berperingkat-peringkat oleh agensi yang terlibat ke PPS yang akan dikenal pasti.

"PPS SK Seri Sejati telah dinaiki air. Kita dalam proses memindahkan lebih 300 orang di PPS itu ke PPS yang baru. PPS itu dinaiki air sehingga satu meter sejak awal pagi tadi. Selain mangsa dalam PPS itu, ada juga lebih 15 keluarga yang dikenal pasti masih berada dalam kediaman mereka dalam gugusan Kampung Parit Warijo,” katanya.

Ismail berkata, seramai 241 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat ditugaskan untuk memindahkan mangsa terbabit dengan menggunakan pelbagai aset sedia ada termasuk 17 buah bot, lori Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), lori ATM, lori tanah dari Pejabat Tanah dan sebagainya.

"Selain PDRM, misi tersebut turut melibatkan anggota penyelamat daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta badan bukan kerajaan (NGO)," kata beliau.

Menurut Ismail, pihaknya juga akan menggerakkan dua jet ski bagi tujuan membuat pemantauan rumah ke rumah yang terjejas banjir.

Beliau bagaimanapun kecewa kerana masih ada segelintir penduduk yang enggan berpindah kerana sayang mahu meninggalkan kediaman mereka sehingga menyukarkan kerja penyelamat.

"Pada Jumaat kita ada buat tinjauan di Parit Warijo dan Parit Masri, kita cuba keluarkan mereka tetapi ada sebahagian kecil penduduk yang tidak mahu berpindah.

"Sekiranya pihak polis atau agensi penyelamat lain minta untuk berpindah, sila berpindah, saat akhir hendak pindahkan mangsa banjir di PPS, ada orang tua, anak kecil dan wanita yang mahu tunggu hari bersalin yang juga perlu dipindahkan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pihaknya menerima panggilan menyelamat melibatkan 15 keluarga tetapi percaya jumlah mungkin lebih daripada itu kerana masih ada kampung lain dalam gugusan kampung tersebut seperti Kampung Jayus 1 hingga 9, Kampung Basri Darat, Kampung Singgahan dan banyak lagi.

Sementara itu, salah seorang penduduk di Kampung Lapis Warijo, Ungku Mohd Ali Ungku Ahmad, 48, berkata tindakannya yang berpindah dahulu malam tadi, membuatkan dia dilaporkan hilang oleh isterinya.

"Setelah mendapat arahan berpindah, saya sudah mengajak isteri dan anak-anak berpindah tapi isteri enggan, jadi saya berpindah ke PPS terlebih dahulu. Hanya bila saya kembali ke rumah pagi tadi, saya dimaklumkan berita kehilangan saya oleh anak saya," kata bapa anak empat itu, yang turut sependapat dengan pihak berkuasa mengenai segelintir penduduk yang enggan berpindah.

"Saya berpindah ni sehelai sepinggang sebab memikirkan keselamatan, jadi saya pun harap agar orang lain pun berfikiran yang sama, fikirkan keselamatan dahulu," kata lelaki itu.

Terdahulu, tinjauan di hadapan pintu masuk Kampung Parit Warijo itu menyaksikan banyak bot serta lori dan traktor digunakan pihak berkuasa dan orang persendirian untuk membawa keluar penduduk dan haiwan ternakan.

Dipercayai terdapat lebih 20 gugusan kampung di dalam Kampung Parit Warijo. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram