Petani, penternak boleh mohon bantuan ganti rugi jika terjejas banjir


  • Primer
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Golongan petani dan penternak di Segamat, Johor diarah untuk melapor tahap kerugian ke pihak Jabatan Pertanian.

PETANI dan penternak di Segamat, Johor yang kerugian akibat banjir dinasihat supaya membuat laporan kepada Jabatan Pertanian untuk bantuan ganti rugi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata, banjir yang berlaku sejak Rabu lepas turut menjejaskan golongan petani dan penternak lebih-lebih lagi Johor dikenali sebagai hab pertanian negara.

"Ramai petani dan penternak terkesan dengan kejadian banjir tersebut kerana selalunya mereka akan lebih bersedia, contohnya apabila masuk bulan November, Disember, Januari dan Februari, mereka akan menghentikan aktiviti pertanian terutamanya kawasan yang kerap banjir.

"Kali ini banjir berlaku hujung Februari dan awal Mac di mana petani baru mula tanam atau semai tanaman mereka, jadi mereka mengalami kerugian dan tidak bersedia.

"Jadi mereka yang terkesan ini diminta menghantar gambar dan laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap itu berkata, mungkin ramai yang keliru dengan bentuk bantuan yang disalurkan Jabatan Pertanian.

"Bantuan ini bukan berbentuk wang tetapi lebih kepada barangan dan jika pokok rosak, baja dan peralatan atau sebagainya kita akan ganti," katanya.

Zahari turut menasihatkan petani supaya menyertai Lembaga Pertubuhan Peladang kerana ahli yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan kewangan untuk ganti rugi.

Beliau berkata, hanya petani yang berdaftar sahaja layak menerima bantuan berkenaan.

Hujan lebat berterusan sejak malam Isnin menyebabkan Johor mengalami banjir yang disifatkan sebagai kritikal selepas merekodkan lebih 39,000 mangsa petang ini dengan Segamat daerah paling teruk terjejas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram