DIANGGARKAN sekitar 25 tahun perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Khadijah Binti Khuwailid, baginda tidak pernah sekalipun menduakan isterinya itu.
Kisah poligami Rasulullah juga lebih berorientasikan kekeluargaan, yakni menjaga keluarga sahabat baginda yang gugur di medan perang.
Menurut pendakwah Indonesia, Bahtiar Abu Zakiyan, ini menunjukkan tentang hakikat pernikahan dalam Islam bahawa ‘isi’ perkahwinan itu adalah tunjang utama.
Bagaimanapun, agama tidak melarang untuk lelaki yang berkemampuan untuk berkahwin lebih daripada seorang, namun tidak melebihi empat.
“Tetapi paling utama dalam Islam ialah bagaimana orang menikah untuk menjaga syahwat dengan hanya memiliki seorang isteri,” katanya.
Perkara itu ada dinyatakan dalam al-Quran: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Surah An- Nisa: ayat 3)
Poligami itu jelas dinyatakan dalam al-Quran, namun masih muncul beberapa pertikaian mengatakan Rasulullah SAW melarang menantunya, Saidina Ali bin Abi Talib daripada berpoligami ketika berkahwin dengan puteri bongsunya, Fatimah az-Zahra.
Para ulama membincangkan mengenai hadis Rasulullah dan muncul pelbagai pandangan tentang tujuan sebenar larangan tersebut.
Berdasarkan penjelasan Datuk Mohd Asri Zainul Abidin terdapat beberapa keadaan yang dikatakan dan salah satunya ialah Saidina Ali bukanlah seorang berada (berkemampuan).
“Melihat situasi itu, untuk mengendalikan isteri lebih daripada satu tidak mampu. Ada juga yang mengatakan tidak mungkin kumpulkan anak Nabi ALLAH dengan anak musuh ALLAH.
“Pandangan itu muncul apabila ada yang mengatakan Fatimah az-Zahra (anak Nabi Muhammad) dimadukan dengan Fatimah Abu Lahab. Namun anak Abu Lahab seorang yang beriman kepada ALLAH dan tiada kaitan dengan bapanya,” ujarnya.
Ada pandangan yang mentafsir tindakan Rasulullah SAW itu demi menjaga hati Fatimah atau Rasulullah SAW melihat perihal lain yang tidak diketahui oleh sesiapa.
“Sebahagian kata Ali tidak mampu, manakala sebahagian lagi berpendapat keistimewaan Fatimah. Ada juga mengatakan layanan diberikan Fatimah sudah memadai,” jelasnya.
Biarpun para ulama mempunyai pelbagai pandangan, namun apa yang pasti segala yang berlaku menjadi rahsia ALLAH. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram