POLIGAMI adalah satu peruntukan atau hak yang diberikan kepada lelaki untuk mengahwini wanita lebih daripada satu manakala tidak melebihi empat orang.
Memetik kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudian ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah."
Firman ALLAH SWT maksudnya: “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”. (Surah al-Nisa ayat: 30)
Berdasarkan penjelasan Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin, suami yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai suami ketika beristeri seorang sudah pasti lebih tidak mampu jika berlaku bertambah isteri. Maka suami sebegini haram berpoligami kerana hanya akan memudarat dan menzalimi isteri.
Keadilan merupakan syarat yang ALLAH untuk adil antara isteri melainkan jika ada isteri yang menarik haknya seperti isteri Nabi SAW Saudah binti Zam’ah yang memberikan hak giliran harinya kepada ‘Aishah. Riwayat Aishah menyebut: “Aku tidak dapati seorang wanita berkesungguhan yang paling aku suka menjadi sepertinya lebih daripada Saudah binti Zam’ah”. Apabila dia sudah tua dia berikan giliran harinya bersama Rasulullah SAW untuk ‘Aishah.
Kata Saudah: “Wahai Rasulullah! Aku berikan giliranku bersamamu kepada ‘Aishah”. Maka Rasulullah SAW menjadikan untuk Aishah dua hari; satu harinya sendiri dan satu lagi hari Saudah”. (Riwayat Muslim)
Kecuaian dan kezaliman rumah tangga tidak berfaktor dari poligami. Tetapi perkara itu bergantung kepada sikap suami.
Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Bukanlah poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah, tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi, pengabaian keluarga dan lain-lain”. (Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, Beirut: Dar al-Fikr)
Bukan disebabkan poligami, suami yang mengamalkan perkahwinan monogami, tetapi tetap menzalimi isteri dan anak-anak. Jika dia berpoligami maka keadaan lebih teruk. Haram lelaki zalim seperti itu berpoligami.
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)." (Surah al-Nisa’ ayat:129)
“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”. (Surah al-Nisa’ ayat:3)
Sekiranya suami mempunyai rekod ketidak mampuan nafkah, kecuaian ataupun kezaliman ke atas isteri yang sedia ada, maka tindakan hendaklah diambil sejak awal lagi bukan menunggu poligami.
Kadi hendaklah memberi ruang untuk si isteri menuntut fasakh dan menghukum kecuaian ataupun kezaliman suami.
Mahkamah yang menyukarkan isteri menuntut fasakh adalah punca kezaliman rumah tangga berterusan, sama ada dalam kes monogami ataupun poligami.
Sikap adil atau bertanggungjawab terhadap isteri bukan hanya kepada yang berpoligami tetapi juga kepada yang beristeri satu (monogami).
Kalau hak ini diberikan kepada kadi maka nanti yang ingin berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh bertanggungjawab atau tidak.
Jika ternyata suami tidak adil, maka isteri boleh mengangkat kes kepada kadi dan boleh menuntut fasakh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram