[VIDEO] Rempuh 6 kenderaan sebelum terbalik di Lebuhraya Bukit Jalil, pemandu Lexus sah positif ganja


  • 112
  • Isnin, 06 Mac 2023

Tangkap layar keadaan kenderaan yang terlibat selepas kemalangan tersebut di Lebuhraya Bukit Jalil pada Sabtu.

SEORANG lelaki tempatan berusia 40 tahun yang melanggar enam kenderaan sebelum kereta yang dipandunya terbalik di Lebuhraya Bukit Jalil, Sabtu lepas, ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi berhampiran Bulatan Lumba Kuda itu, suspek yang memandu kenderaan jenis Lexus hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan lain, yang sedang berhenti di lorong kiri dan kanan jalan bagi menunggu lampu isyarat hijau.

"Kemalangan itu bagaimanapun hanya menyebabkan kerosakan kenderaan yang terlibat dan tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan ujian air kencing mendapati, dia positif dadah jenis ganja dan ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebih RM15,000 atau kedua-duanya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram