Suami mati dikelar selepas hubungan sulit terbongkar, setahun mayat ditanam kekasih isteri belakang banglo Subang Jaya


  • 112
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Pemeriksaan dilakukan oleh pasukan forensik di lokasi lelaki warga India dipercayai ditanam kekasih isterinya, di lereng bukit di sebuah banglo. — PDRM

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Demikian perumpamaan yang sesuai digambarkan kepada seorang lelaki, selepas rahsianya terbongkar apabila dipercayai membunuh dan menanam mayat suami kekasihnya di sebuah banglo di Subang Jaya, Selangor pada Mei tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya, sebelum menanam mayat mangsa pada pukul 4.45 petang pada Khamis.

Menurutnya, pengakuan berkenaan dibuat di kawasan Ampang Jaya, sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan soal siasat lanjut terhadap suspek.

"Suspek kemudian menunjukkan lokasi kejadian mangsa berusia 25 tahun dibunuh pada Mei tahun lalu iaitu di lereng bukit di belakang sebuah banglo di Subang Jaya.

"Kejadian bunuh itu berlaku di banglo berkenaan yang dijadikan sebagai pusat jagaan orang tua dengan mangsa dipercayai dikelar di leher menggunakan pisau," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Azlan berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihak forensik menemui bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut badan mangsa.

"Susulan itu, kami menahan isteri mangsa dan kekasihnya yang juga warga India serta dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia, berusia antara 25 hingga 35 tahun yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan bagi membantu siasatan.

"Semakan dilakukan mendapati, kedua-dua suspek warga India tidak mempunyai pasport dan kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, motif pembunuhan itu dipercayai disebabkan mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.

"Suruhanjaya Tinggi India ada membuat laporan polis mangsa hilang pada Mei 2022 selepas menerima aduan daripada ahli keluarganya di India yang memaklumkan lelaki itu tidak dapat dihubungi.

"Setakat ini, senjata pembunuhan dalam kejadian ini (pisau) masih belum ditemui dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram