[VIDEO] Padah lumba haram di Klang, remaja maut motosikal bergesel sesama rakan


  • 112
  • Ahad, 05 Mac 2023

Tangkap layar memaparkan tragedi kemalangan melibatkan dua remaja lelaki berlumba haram di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor pada Ahad.

SEORANG remaja lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan ketika dipercayai berlumba haram di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang bersaing sesama sendiri dengan menunggang secara laju, melulu dan berbahaya dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang.

Cha berkata, motosikal kedua-dua mangsa berumur 19 tahun itu dipercayai bergesel sesama sendiri dan menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan masing-masing sebelum terjatuh atas jalan raya.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 2.30 pagi Ahad bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, seorang mangsa meninggal dunia pada 6.50 pagi Ahad manakala seorang lagi masih dirawat di zon merah kerana mengalami kecederaan parah pada organ jantung, buah pinggang dan paru-paru," menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Cha berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya masih mengesan kumpulan penunggang motosikal terbabit untuk membantu siasatan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Syahirah Kamsani di talian 012-447 0162 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-3372 2222 atau mana-mana balai berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular dua video memaparkan dua penunggang motosikal terbaring di atas jalan raya selepas terjatuh dan dibantu sekumpulan lelaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram