Lagi penempatan haram ditemui di Nilai, kali ini sebesar 2 padang bola


  • 112
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Pemandangan dari sisi atas di kawasan penempatan haram tersebut.

PIHAK berkuasa menemui sebuah lagi penempatan haram, kira-kira 25 kilometer (km) dari penempatan yang ditemui di Nilai, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Penempatan dipercayai diduduki oleh warga asing sejak beberapa tahun lalu itu mempunyai keluasan sebesar dua padang bola sepak, dan terletak berhampiran Bandar Ainsdale, di Nilai.

Pada Jumaat, Jabatan Imigresen menahan 32 warga Indonesia yang menduduki penempatan haram tersebut.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, seorang bayi termasuk individu yang ditahan, manakala selebihnya 16 lelaki dan 15 perempuan.

"Mereka memilih kawasan tersembunyi untuk mengelak daripada dikesan.

"Terdapat khemah dipasang di dalam hutan dipercayai untuk membolehkan mereka bersembunyi," katanya sambil menambah 47 warga Indonesia ditemui menetap di penempatan itu.

Tan berkata, beberapa agensi penguatkuasa terlibat dalam operasi yang dijalankan sekitar pukul 1 pagi Jumaat.

Some of the undocumented foreigners detained in the raid. — Immigration pix

Antara individu ditahan dalam serbuan pada Jumaat.

Tambahnya, pegawai penguatkuasa terpaksa berjalan kaki kira-kira 1km melalui hutan untuk tiba ke penempatan yang terletak di kawasan berbukit.

"Ada di antara warga asing cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kami, tetapi mereka berjaya ditangkap," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang ramai berhubung pembinaan penempatan haram itu, sebelum Jabatan Imigresen menjalankan pengawasan dalam tempoh dua minggu.

Setakat ini, katanya, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti pemilik hartanah di kawasan penempatan terbabit.

"Jika ia dibina di atas harta kerajaan, maka kita akan meminta PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) untuk merobohkan kediaman di kawasan itu," katanya.

Tan berkata, pendatang tanpa izin itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan berkaitan.

Kesemuanya sudah dihantar ke depoh Imigresen di Lenggeng sementara perkara itu disiasat.

Pada 1 Februari lepas, Jabatan Imigresen menahan 67 warga Indonesia dalam serbuan di kawasan terpencil di Nilai.

Daripada jumlah itu, terdapat 11 lelaki dan 20 wanita, manakala selebihnya merupakan kanak-kanak.

Anggota penguatkuasa terpaksa berjalan sejauh 1.2 km melalui hutan sebelum mereka tiba ke kawasan yang dijadikan penempatan haram.

Selain itu, terdapat kemudahan seperti sekolah, yang mana kanak-kanak diajar sukatan pelajaran bahasa Indonesia.

Penempatan itu turut disediakan dengan beberapa set penjana elektrik kerana terletak di kawasan terpencil. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram