SERBUAN Jabatan Imigresen Malaysia ke penempatan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) di Nilai, Negeri Sembilan membuka mata banyak pihak.
Ini kerana selama dua tahun mereka bukan sahaja menakluk tanah itu, tapi turut membina fasiliti seperti sekolah dan sebagainya tanpa disedari pihak berkuasa.
Majoriti pada Khamis juga ada melaporkan berita berkenaan dengan pendedahan warganet mengenai beberapa lagi tempat yang menjadi lokasi penempatan haram.
Perkara itu turut diakui Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, dia tidak menafikan kewujudan warga asing di Puncak Alam, Selangor.
"Memang ada kerja-kerja pembinaan yang dilakukan di Bukit Kotak yang menempatkan rumah kongsi. Tetapi itu di bawah syarikat pembinaan.
"Kebanyakannya memang kita kenal sebab pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita pernah beri bantuan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.
Menurut Mohd Hanif, Puncak Alam sudah mempunyai kumpulan keselamatan dan mereka juga kerap berhubung dengan pihak pemaju terutamanya berkaitan dengan warga asing.
Tetapi jelasnya, Puncak Alam juga mempunyai kawasan hutan dan kebun serta tidak tahu sama ada wujud petempatan haram atau tidak.
"Cuma, kalau ada gangguan atau sebagainya, kita menasihatkan supaya melaporkan perkara itu kepada imigresen atau pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Klang yang hanya mahu dikenali sebagai Rizman berkata, bandar Klang sejak dahulu lagi sudah penuh dengan warga asing.
"Walaupun Majlis Perbandaran Klang (MPK) berada bersebelahan sebuah pusat beli belah di bandar Klang, tetapi warga asing sering dilihat berkumpul terutamanya pada hujung minggu.
"Tidak tahu mereka ini dari mana tetapi pada hujung minggu akan penuh dengan warga asing. Kebanyakan mereka datang ke lokasi itu dengan berjalan kaki," katanya.
Menurut Rizman, dia berharap supaya pihak berkuasa dapat mengesan di mana lokasi mereka tinggal untuk mengelak wujudnya penempatan haram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram