Bengang kena repot polis, pemuda 'lalok' bakar rumah famili di Sarawak


  • 112
  • Khamis, 02 Mac 2023

Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah didakwa membakar rumah keluarganya di Mukah, Sarawak pada Rabu. — Gambar hiasan

BERANG selepas mengesyaki ahli keluarga melaporkan penglibatannya dalam aktiviti dadah, seorang lelaki bertindak membakar rumah keluarganya di Skim Penempatan Semula Kampung Sungai Alo, Mukah, Sarawak pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias dalam kenyataan berkata, kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu menyebabkan 12 penghuni termasuk suspek telah kehilangan tempat tinggal.

"Suspek yang merupakan penganggur berusia 30 tahun dikatakan memulakan kebakaran itu di bahagian belakang rumah tersebut. Sekitar lebih kurang pukul 7.40 malam, pemilik rumah yang juga abang kepada suspek telah terdengar suspek memanggil keluar ahli keluarganya untuk keluar memadamkan api.

"Apabila mangsa dan semua ahli keluarga keluar dari rumah, mereka mendapati bahagian belakang rumah telah terbakar dan api sedang merebak. Kesemua mereka dapat menyelamatkan diri tetapi gagal mengambil barang peribadi di dalam rumah tersebut,” katanya.

Suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah itu kemudiannya ditahan oleh ahli keluarganya dan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah berjaya memadamkan api namun rumah tersebut musnah keseluruhannya.

Suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata kini direman untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram