[VIDEO] Johor kembali banjir tak sampai sebulan, 4 daerah kritikal


  • Massa
  • Rabu, 01 Mac 2023

Tangkap layar tragedi banjir yang melanda beberapa buah daerah di Johor.

KURANG dari tempoh sebulan, Johor kembali dilanda banjir di empat buah daerah melibatkan pemindahan 1,591 mangsa ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi Rabu, susulan hujan lebat yang berterusan sejak pagi Selasa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan, memaklumkan enam PPS masing-masing di daerah Segamat, Kluang dan Johor Bahru selain tiga PPS di Kota Tinggi, dibuka secara berperingkat mulai 10.30 malam Selasa sehingga pukul 3.20 pagi Rabu.

"Seramai 209 keluarga terjejas banjir di Segamat, 162 keluarga di Kluang, 131 keluarga di Johor Bahru dan 32 keluarga di Kota Tinggi," kata jawatan kuasa tersebut.

Sementara itu, laman media ketika ini dipenuhi dengan beberapa rakaman tragedi banjir yang melanda beberapa daerah di Johor dengan kes terbaharu memaparkan sebuah keluarga yang terpaksa berlindung di atas bumbung rumah sementara menanti bantuan daripada pihak berwajib.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat pada tahap bahaya dijangka berterusan sehingga Khamis membabitkan semua 10 daerah di negeri terbabit.

Selain itu, beberapa sungai di Johor telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Segamat yang merekodkan bacaan 38.32 meter; Sungai Lenik, Segamat 13.74 meter; Sungai Lenik, Ladang Chaah, Segamat 6.73 meter; Sungai Kahang, Kampung Contoh, Kluang 15.49 meter dan Sungai Sayong, Kampung Murni Jaya, Kulai di paras 18.93 meter.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Skudai, Kampung Separa, Kulai 18.8 meter; Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai 12.01 meter; Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai, Pontian 2.85 meter; Sungai Skudai, Kampung Laut, Johor Bahru 5.6 meter dan Sungai Skudai, Kampung Pasir, Johor Bahru 1.05 meter. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, hujan lebat, hanyut, bomba,