SEORANG lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri ini setelah ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta, di Jalan GSA Chamek, Paloh, Kluang, Johor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa yang berusia 20an itu, dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira pukul 7.20 pagi Rabu.
Bahrin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.
"Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menjumpai seorang lelaki dan didapati meninggal dunia. Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.
”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai berlaku di luar negara.
"Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Disember tahun lepas, tular di media sosial sejak semalam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram