SEBUAH bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor bersama empat krunya dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, Johor Bahru, Johor pada petang Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 mengenai kehilangan bot itu, pada pukul 7.51 malam.
Katanya, bot Jabatan Perikanan Negeri Johor dengan nombor pendaftaran PL87 bersama empat orang krunya dilaporkan tidak dapat dihubungi.
"Bot dan empat krunya gagal dikesan selepas berlepas dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, sekitar pukul 12.45 tengah hari Selasa yang sepatutnya tiba di Pangkalan Tampoi, Johor Bahru, Johor pada pukul 6.30 petang.
"Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) bagi mengesan sebuah bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor yang dilaporkan hilang tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nurul Hizam berkata, susulan laporan yang diterima, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op Carilamat bermula pukul 8.00 malam Selasa.
Menurutnya, Maritim Malaysia menggerakkan bot Pengawal 46 dan bot Kilat 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang hilang.
"PPM Wilayah Dua turut menggerakkan tiga aset mereka bagi membantu operasi pencarian.
"Lokasi pencarian ditumpukan pada sekitar perairan Tuas, Singapura dan Tanjung Piai.
"Ia berikutan maklumat diterima dari pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir Bot PL87 itu dikesan di perairan Tuas sekitar pukul 3 petang Selasa," katanya.
Tambah Nurul Hizam, MRCC Putrajaya juga telah berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan lanjut mengenai bot PL87 di perairan negara jiran.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Maritim Johor memaklumkan empat mangsa yang hilang ditemukan selamat oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada 1.45 tengah hari Rabu.
Mangsa, Fatimah Razak, 36, yang mengetuai bot berkenaan, bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33, Abdul Halim Sanip, 52 dan Marzuki Jusuh, 53, ditemui pasukan TNI pada kedudukan satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia.
Hasil maklumat awal yang diperoleh, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan sebelum dihanyutkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram