[VIDEO] Insiden panas di tepi padang libat 'game' peringkat akar umbi, siasatan akan dibuat


  • Tular
  • Isnin, 27 Feb 2023

Insiden yang bermula di tepi padang itu juga dilihat berlarutan ke dalam padang sehingga menghentikan perlawanan yang sedang berlangsung ketika itu.

TULAR satu video pertelagahan dipercayai membabitkan pihak pengurusan pasukan bola sepak di peringkat akar umbi yang beraksi di padang Sri KDU International School, Subang Jaya, Selangor.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, kejadian tersebut pada awalnya membabitkan pertikaman lidah antara beberapa individu dewasa dipercayai jurulatih pasukan bertanding.

Bagaimanapun, perang mulut itu membawa kepada tindakan agresif beberapa individu terbabit sehingga menyebabkan berlakunya tolak-menolak dan kejar-mengejar antara kedua-dua pihak yang bertengkar.

Insiden yang bermula di tepi padang itu juga dilihat berlarutan ke dalam padang sehingga menghentikan perlawanan yang sedang berlangsung ketika itu.

Menerusi video berkenaan, ketegangan itu dilihat berjaya dileraikan beberapa pihak lain yang tampil menenangkan keadaan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan padang sekolah itu ketika dihubungi Majoriti memaklumkan siasatan sedang dilakukan terhadap insiden tersebut termasuk mengenal pasti waktu kejadian.

Menurutnya, insiden di padang itu berlaku ketika ia disewakan kepada pihak ketiga.

Sri KDU International School turut menegaskan kejadian tersebut tidak membabitkan mana-mana pihak atau pasukan daripada sekolah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram