[VIDEO] Polis cekup 2 'mat lalok' ragut wanita di Kota Bharu


  • 112
  • Isnin, 27 Feb 2023

Tangkap layar rakaman CCTV kejadian ragut melibatkan seorang wanita yang berlaku di Jalan Kelochor, Kota Bharu pada 16 Februari lalu.

POLIS menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 39 tahun kerana terlibat dalam kejadian ragut seorang wanita sehingga mangsa mengalami luka kecil di lengan dan tangan kiri di Jalan Kelochor, Kota Bharu, Kelantan pada 16 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek ditahan di Pasir Puteh, pada 6.30 petang pada Sabtu lepas, hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

"Susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal yang digunakan sewaktu kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, selain turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari mulai Ahad, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden itu yang mangsa wanita berusia 54 tahun dilihat berseorangan menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut dua lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal berwarna kuning sehingga menyebabkan mangsa terjatuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram