[VIDEO] Dua beradik lemas terperangkap dalam pusaran Air Terjun Sungai Sedim


  • 112
  • Isnin, 27 Feb 2023

Kedua-dua mangsa yang tenggelam di dasar sungai ditemui pihak berkuasa dengan bantuan penduduk kampung pada pukul 3.55 petang Ahad. — Facebook

TINDAKAN seorang abang yang mahu menyelamatkan adiknya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Sungai Sedim, di Kulim, Alor Setar pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, sebelum kejadian, mangsa Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25, dikatakan mandi bersama tiga rakan mereka di air terjun itu pada 3.20 petang.

"Semasa mandi di kawasan lubuk kawah, tiba-tiba air berpusar dan menenggelamkan kesemua mereka. Empat daripada mereka berjaya naik ke atas menyelamatkan diri, tetapi Mohamad Syazwan hilang dan disyaki lemas.

"Abang mangsa terjun semula ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya. Bagaimanapun, kedua-dua beradik yang berasal dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang itu, lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Redzuan, penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat sebelum menemukan kedua-dua mangsa yang tenggelam di dasar sungai, pada pukul 3.55 petang.

"Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram