PENANGGUHAN bayaran balik dan pengurangan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan dalam inisiatif Belanjawan 2023 akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Perbadanan itu dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, inisiatif tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.
"PTPTN amat berterima kasih dan komited untuk melaksanakan inisiatif Belanjawan 2023 iaitu insentif diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac ini.
"PTPTN juga menyambut baik inisiatif penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan. Justeru, pelaksanaan inisiatif ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.
Menurut PTPTN, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ia sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam, selaras dengan inisiatif kerajaan yang telah diumumkan melalui Belanjawan 2023.
Untuk sebarang pertanyaan peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi saluran Careline PTPTN di 03 - 2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram