'Siang pelajar IPT, malam buat kerja part time'


  • Massa
  • Rabu, 19 Okt 2022

Pelajar perlu bijak membahagi masa antara untuk melakukan kerja sambilan agar tidak mengganggu pembelajaran. — Gambar hiasan

MENGGALAS tanggungjawab sebagai pelajar tidak membuatkan Nur Nadhirah Abdul Rahim bergantung hidup sepenuhnya kepada keluarga.

Nur Nadhirah, 22, yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berkata, dia memilih untuk berdikari dan mencari sumber pendapatan sendiri dengan cara bekerja secara sambilan di restoran makanan segera.

Mengakui melakukan kedua-dua perkara dalam satu masa bukan tugas mudah, tetapi dia bersyukur dan gembira kerana dapat meringankan beban orang tua.

“Tidak dinafikan saya berasa agak terbeban, namun tiada pilihan lain untuk mendapatkan lebih pendapatan memandangkan peningkatan kos sara hidup.

“Penat itu memang ada, tetapi saya perlu teruskan juga untuk menimba pengalaman.

“Biarpun bekerja di restoran makanan segera, tetapi saya dapat menimba pelbagai pengalaman dan berasa berbaloi apabila setiap kali dapat gaji,” ujarnya kepada Majoriti.

Young students learning,library bookshelves on background

Meskipun sibuk melakukan kerja sambilan, pelajar perlu bijak membahagikan masa agar tidak menjejaskan prestasi pembelajaran.

Pelajar Pengajian Bahasa Inggeris Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menasihatkan agar pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang ingin bekerja sambil belajar perlu bijak mengurus masa dan bersedia untuk berkorban.

“Berani untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan di tempat kerja kerana mereka perlu tahu jika kita perlu hadir ke kelas atau sebagainya.

“Sebaiknya jangan terlalu banyak memberi alasan bagi mengelakkan daripada menangguh kerja.

“Fokus juga penting dan jika berpeluang untuk berehat, cuba dapatkan rehat yang cukup agar tidak mengganggu pembelajaran dan pekerjaan,” katanya.

Terdahulu Majoriti melaporkan golongan mahasiswa perlu lebih matang dan berdikari dalam mencari jalan untuk mengatasi peningkatan kos sara hidup.

Perkara itu diluahkan oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang menasihatkan pelajar tidak boleh terlalu bergantung hidup dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ibu bapa, biasiswa atau tajaan.

“Pada saya tidak adil jika kata tiada peluang untuk cari kerja sambilan. Bagi pelajar yang ingin mengubah dan mencabar diri untuk melakukan sesuatu lebih baik kepada dirinya pekerjaan itu pasti ada,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram