'Kerja sambil belajar, bukan terlalu harapkan bantuan', langkah terbaik tangani isu kos hidup mahasiswa


  • Massa
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Pelajar tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan, tetapi sudah tiba masanya untuk belajar berdikari. — Agensi

BELIA yang bergelar mahasiswa seharusnya lebih matang dan berdikari dalam menghadapi masalah termasuk mencari jalan untuk mengatasi peningkatan kos hidup.

Menurut Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, golongan itu seharusnya memiliki pemikiran dewasa dan mampu untuk bekerja sambil belajar.

Katanya, selain mengharapkan bantuan daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ibu bapa, biasiswa atau tajaan, pelajar boleh berusaha untuk melakukan pekerjaan sambilan untuk menampung pembelanjaan.

“Mereka ini bukan lagi budak sekolah yang memakai unifom, membuat kerja sekolah setiap hari, perlu mengikut peraturan yang ketat mahupun sentiasa dipantau ibu bapa.

“Jika tidak mempunyai kewangan yang mencukupi, mereka perlu mencari jalan lain untuk menampung kos iaitu dengan cara bekerja.

“Pada saya tidak adil jika kata tiada peluang untuk cari kerja sambilan. Bagi pelajar yang ingin mengubah dan mencabar diri untuk melakukan sesuatu lebih baik kepada dirinya pekerjaan itu pasti ada,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, pekerjaan dalam sektor e-hailing atau bekerja separuh masa antara yang boleh dilakukan oleh pelajar.

Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi campus

UKM melaksanakan Menu Siswa Keluarga Malaysia pada harga RM3.50 bagi membantu pelajar.

Jelasnya, menggalas tanggungjawab sebagai pelajar universiti bukan satu halangan buat mereka untuk menafikan peluang meraih pengalaman sebelum membina kerjaya.

“Berdasarkan pengalaman sebenar, kalau kita pandai mengurus kewangan, berjimat-cermat dan mencari kerja tambahan, pada saya sudah memadai dan mencukupi.

“Asalkan perkara itu tidak mengganggu pelajaran sama ada pelajar institut pendidikan bandar atau luar bandar. Pekerjaan itu sama ada bayaran per jam, hari atau bulan. Segalanya bergantung kepada keupayaan, kesediaan dan kebolehan mahasiswa itu untuk berfikir cara penyelesaiannya,” katanya.

Sebelum ini UKM menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memperkenalkan Menu Siswa Keluarga Malaysia apabila pihak pengurusan menetapkan harga RM3.50 untuk menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, masakan ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup, manakala makan malam pula adalah nasi goreng dan telur mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram