[VIDEO] Bengang Nintendo Switch dirampas, pelajar 17 tahun bantai guru sampai lunyai tak sedarkan diri


  • Benua
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Tangkap layar seorang pelajar lelaki membelasah gurunya kerana merampas Nintendo Switch miliknya di Florida, Amerika Syarikat pada Jumaat.

SEORANG pelajar lelaki bertindak di luar kawalan apabila memukul dan membelasah seorang guru wanita di sebuah Sekolah Tinggi Matanzas, Florida, Amerika Syarikat pada Jumaat selepas peranti permainan video Nintendo Switch miliknya dirampas.

Ketika kejadian, remaja berusia 17 tahun itu dilihat meluru ke arah individu terbabit sebelum memukulnya berulang kali.

Beberapa kakitangan lain kemudiannya menghentikan serangan tersebut dan guru berkenaan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, pelajar terbabit bertindak sedemikian selepas kecewa dengan perbuatan mangsa yang merampas dan menyimpan peranti permainan video miliknya.

Meskipun kelakuan itu berjaya dihentikan, guru wanita tersebut dilaporkan cedera teruk sehingga berlumuran darah dan tidak sedarkan diri ketika kejadian.

Suspek telah ditahan polis dan memberitahu bahawa dia akan membunuh guru terbabit sebaik dibebaskan untuk kembali ke sekolah.

Remaja berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Kehakiman Juvana dan telah didakwa dengan kesalahan yang dilakukan.

Pegawai Sekolah Daerah Volusia, mengeluarkan kenyataan berkaitan isu yang berlaku.

"Keselamatan pelajar dan kakitangan sekolah adalah kepentingan kami dan kerjasama penuh akan diberikan dengan pihak berkuasa tempatan bagi membantu siasatan tersebut," kata salah seorang pegawai di sekolah terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram