Status muflis rakyat libatkan hutang kurang RM50,000 dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac — Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Anwar berkata, kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 bagi membolehkan 130 ribu rakyat dilepaskan daripada status muflis.

KERAJAAN bercadang memberikan peluang kedua kepada rakyat yang diisytihar muflis untuk dilepaskan secara automatik.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memberi peluang supaya rakyat mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

"Rakyat yang diisytihar muflis berhak mempunyai peluang kedua.

"Setakat Januari, lebih 260 ribu kes muflis direkodkan melibatkan anak-anak kita majoritinya Melayu yang mempunyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 bagi membolehkan 130 ribu rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan kelulusan pindaan itu.

"Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

"Kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan itu," ujarnya.

Selanjutnya, beliau berkata, bagi rakyat yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

Selain itu, Anwar turut berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak lebih agresif bagi membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.

"Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual, wanita dan kanak-kanak.

"Antaranya, sebuah unit khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram