KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan kadar sewa ruang niaga berkonsep 'Rahmah' bagi setiap tapak di bazar Ramadan yang akan dianjurkan sepanjang bulan puasa bermula hujung bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi dan akan turut menawarkan sewa yang rahmah.
“Kita akan cuba mendapatkan bazar Ramadan di lokasi yang strategik dan berikan ruang perniagaan kepada orang ramai supaya mereka gembira menjelang Aidilfitri," katanya.
Ternyata inisiatif dilakukan kerajaan sememangnya sesuatu perkara yang positif namun menjadi kerisauan peniaga-peniaga meskipun tapak sewa ditawarkan dengan harga Rahmah.
Menu rahmah diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Petaling Jaya, Kamal Ahmad berkata, ia suatu perkara positif namun masih awal untuk menilai kerana harga barangan mentah masih lagi mahal.
"Satu perkara yang amat baik untuk dilakukan oleh kerajaan namun masih awal untuk kita katakan bahawa semua peniaga menyambut baik perkara tersebut.
"Ini disebabkan keadaan bahan mentah masih berada di tahap yang kurang memberangsangkan kerana pemborong sering menaikkan kadar harga yang tidak menentu.
"Ramai peniaga yang menyahut cabaran dengan baik serta mengalihkan perniagaan ke arah Menu Rahmah tetapi masih mengadakan peruntukan masa seperti dalam masa kadar yang tertentu sahaja," katanya pada Majoriti.
Menu Rahmah hanya disediakan dalam tempoh tertentu.
Kamal berkata, untuk merealisasikan Bazar Ramadan Rahmah ketika ini agak sukar kerana harga barangan yang akan memainkan peranan utama.
"Bazar Ramadan ini kemungkinan untuk beralih kepada menu ini amat sulit disebabkan harga barangan mentah yang sering tiada stok.
"Contohnya bermula pukul 12 tengahari sehingga 2 petang untuk Menu Rahmah, sebelum dan selepas itu masih dalam harga yang lama atau mungkin tinggi dari menu rahmah.
"Lagi pun inilah peluang untuk peniaga mencari keuntungan yang banyak dengan alasan persediaan raya selepas PKP," ujarnya.
Sementara itu, jurucakap KPDN memaklumkan kepada Majoriti bahawa perincian Bazar Ramadan Rahmah masih dalam peringkat perbincangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram