PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya tiada pihak menjadi batu api dengan melaga-lagakan antara kaum di negara ini.
Anwar berkata, keharmonian dan perpaduan negara harus sentiasa dipelihara tidak kiralah antara wilayah mahupun kaum.
"Suka saya ingatkan subaya tidak ada lagi pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mengapi-apikan perbedaan kaum dan warna kulit.
"Negara ini tidak akan biarkan sentimen kebencian ini dibiar menanah sehingga membarah menjadi tindak ganas.
"Saya beri jaminan di sini bahawa tidak hanya ‘perpetrators’ yang akan diberkas tetapi ia termasuk ‘purveyors’ yang menyalah guna hak kebebasan bersuara," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.
Tambahnya lagi, perpaduan adalah elemen penting bagi menghadapi isu-isu yang sedang melanda negara ini.
"Perpaduan mesti terus penting dan utuh terutamanya dalam usaha kita merungkai isu-isu pokok yang merundung negara.
"Permasalahan rakyat yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup kini sedang ditekuni secara tuntas.
"Kita tidak cuba untuk menerapkan kebijakan yang separuh masak atau yang memihak kelompok elit, tetapi kita harus memastikan ia dirasai segenap rakyat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram