Rahmah memacu Malaysia Madani


  • Massa
  • Khamis, 23 Feb 2023

Menu Rahmah diperkenalkan kerajaan bagi membantu kelangsungan hidup golongan memerlukan. — Gambar hiasan

ISU kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup sama ada di bandar atau di luarbandar kerap kali didendangkan saban tahun. Ini memberi beban kepada masyarakat khususnya kepada golongan B40 kerana perlu 'ikat perut' dan terpaksa mengurangkan saiz hidangan seterusnya memaksa golongan tersebut merendahkan taraf hidup mereka.

Hal ini demikian kerana penurunan kuasa beli menyebabkan harga barangan semakin meningkat sehingga mungkin sampai tahap tidak mampu untuk membeli barangan tersebut. Hasil dapatan kajian Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi mendapati sebanyak 79.1 peratus daripada yang terkesan adalah daripada kumpulan B40 dan 20.9 peratus daripada kumpulan M40.

Bagi pihak peniaga pula yang turut mengalami kemaikan harga barangan mentah seperti telur, ayam, tepung dan sebagainya tidak dapat mengekalkan jualan mereka pada harga lama, maka hendak atau tidak harga jualan mereka turut terpaksa dinaikan bagi menampung kos pengeluaran meskipun keuntungan yang diperoleh agak berkurangan.

Perkataan Rahmah semakin meniti di bibir rakyat Malaysia ekoran dijadikan tagline oleh kerajaan melalui Bakul Rahmah, Pakej Rahmah, Jualan Rahmah, Kafe Rahmah dan terkini pelancaran Program Menu Rahmah. Dalam mengurangkan beban rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barangan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Program Menu Rahmah pada harga yang rendah dan berpatutan.

Program Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari 2023 ini turut digerakkan oleh peniaga (Private Driven Initiative) dan dilakukan secara sukarela. Menu Rahmah ini dikhususkan kepada golongan yang memerlukan makanan siap masak, iaitu makan tengah hari dan makan malam pada harga yang munasabah.

Inisiatif Menu Rahmah sedikit sebanyak meringankan beban golongan tersebut untuk mampu membeli makanan di restoran dengan harga RM 5 merangkumi nasi, sayuran dan pilihan sama ada ikan atau ayam.

Bersesuaian dengan perkataan Rahmah alam bahasa Arab bernaksud kasih sayang, belas ihsan, simpati atau kemurahan hati dan kurniaan kepada mereka yang memerlukan.

Tinjauan sentimen yang dilakukan oleh Bernama mendapati kira-kira 56% responden menyambut baik komitmen kerajaan perpaduan pinpinan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam menjaga kebajikan rakyat dengan menawarkan hidangan berkhasiat. Lebih 15,000 restoran

daripada tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman menyambut inisiatif dalam menyediakan Menu Rahmah di premis lokasi masing-masing antaranya seperti pasar raya MyDin dan AEON BIG.

Peniaga yang menyokong inisiatif kerajaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi juga mewujudkan satu ekosistem yang lengkap agar perniagaan mampu berdaya saing di peringkat glokal. Bagi memudahkan orang ramai mengetahui lokasi Menu Rahmah portal Menu Rahmah Malaysia Madani melalui pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my telah dibangunkan. Para peniaga yang berminat menawarkan menu Rahmah turut diberi peluang untuk mendafftar melalui portal yang sama.

Namun, timbul persoalan jika sebelum ini isu kenaikan harga barangan mentah menyebabkan kenaikan harga barangan. Bagaimana pula secara tiba-tiba para peniaga mampu menawarkan harga jualan serendah RM 5 sahaja melalui Menu Rahmah?

Menu Rahmah ini dapat direalisasikan oleh KPDN melalui perjanjian memorandum persefahaman (MOU) dengan beberapa persatuan restoran dan kedai makan bermasak. Kesediaan persatuan restoran untuk mewujudkan Menu Rahmah ini secara tidak langsung memacu dalam merealisasikan usaha membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup seterusnya situasi menang-menang bagi mengurangkan kos operasi serta menawarkan harga munasabah kepada pelanggan.

KPDN dengan kerjasama premis yang terlibat akan meletakkan pelekat yang mempunyai simbol Menu Rahmah bagi memudahkan pelanggan ketika membuat pesanan.

Selain itu, penglibatan restoran dan pengusaha kedai makan secara sukarela menyahut seruan kerajaan merupakan salah satu faktor dalam merealisasikan Menu Rahmah. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan kesediaan para peniaga melakukannya dengan semangat kebajikan tanpa paksaan daripada sesiapa. Sebagai menghargai usaha para peniaga yang menyertai Program Menu Rahmah, kerajaan melalui KPDN akan membantu mempromosi premis tersebut dalam portal kementerian sebagai usaha menguar-uarkan inisiatif itu kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis tersebut.

Hal ini sekali gus membantu menjana pendapatan para peniaga dari segi kuantiti jualan dan seterusnya menampung pengurangan margin selain bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

Ditambah pula dengan pertimbangan untuk memberi insentif kepada para peniaga makanan yang menyahut usaha kerjaan dengan menjual Menu Rahmah secara sukarela secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai peniaga menjayakan program tersebut. Pemberian insentif yang bakal diberikan melihat kepada keperluan perniagaan tersebut, misalnya penambahan kuota jumlah pekerja di samping mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga yang bersesuaian untuk melaksanakan Menu Rahmah.

Ekoran Program Menu Rahmah ini telah membawa kepada perubahan baharu dalam paradigma ekonomi. Hal ini demikian kerana peniaga secara tidak langsung dapat memberikan sumbangan kepada pengguna manakala pengguna juga turut merasakan keikhlasan dan sikap positif para peniaga kerana turut serta dalam program Menu Rahmah.

Tidak mustahillah satu hari nanti Malaysia berada dalam rating pertama indeks kebahagian, iaitu negara yang bermurah hati.

Namun, usaha kerajaan Malaysia Madani untuk menyantuni dan membantu rakyat yang memerlukan haruslah mendapat kerjasama daripada semua pihak. Sistem sokongan yang kuat amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan Menu Rahmah ini bertahan laman dan berterusan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Pemain industri khususnya pengusaha restoran perlulah berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan aspirasi ini ibarat kata pepatah, kuah sama dihirup, sambal sama dicolek. — Majoriti

Dr. Azean Idruwani Idrus,Pensyarah Kanan, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram