MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi amaran agar semua pihak menghentikan perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara kepada rakyat dan negara.
Tegas beliau, tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
"Saya memandang serius acara melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu, Jumaat lalu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial itu menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat, apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat semakin memuncak.
Jelasnya, kesedaran umum juga jelas terhadap keadaan negara yang sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (bangsa, agama dan raja), yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Keadaan itu katanya, menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan.
"Maka sudah tentu apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ketenteraan amatlah tidak wajar," katanya.
Saifuddin berkata, upacara itu yang disiar dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan, sehingga mengundang pertanyaan sama ada perarakan tersebut bermaksud menyuntik semangat perang.
"Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara," katanya.
Tambah Saifuddin, segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif.
"Saya ingin menyeru dan mengajak rakyat untuk bersama-sama menyahut seruan Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antaranya mempromosikan elemen kesejahteraan, hormat dan ihsan di kalangan rakyat.
Marilah kita menghargai dan memaknai perpaduan Malaysia ini dengan sepenuhnya," katanya.
Sebelum ini, tular rakaman program tahunan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023), yang memaparkan peserta membawa replika mengikut tema perarakan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram