Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM


  • Primer
  • Isnin, 20 Feb 2023

Tengku Zafrul sebelum ini berkata, beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin mengesahkan bahawa, beliau sudah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

Menurut Tengku Zafrul, beliau akan berjumpa dengan pihak SPRM dalam masa terdekat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi itu.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang disiasat pihak SPRM.

"Saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Selepas dipanggil baru boleh saya sahkan mengenai apa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MITI dan agensi, di ibu negara pada Isnin.

Pada Ahad, SPRM, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil Tengku Zafrul yang merupakan bekas Menteri Kewangan, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa, Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

Menurut Tengku Zafrul, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada 'perbelanjaan' yang tidak sepatutnya berlaku.

"Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul, menerusi catatan di Facebook pada Ahad berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram