KEKECOHAN kecil tercetus di Dewan Rakyat apabila Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shapie Apdal mendakwa tiga bekas wakil rakyatnya ditawarkan wang untuk keluar parti itu.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau berada di Mekah menunaikan ibadah umrah apabila menerima berita tiga Adun partinya "dibeli" oleh pihak tertentu, namun beliau tidak mendedahkan siapa di belakang tindakan itu.
“Sebab itu, saya menggesa dan mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya segera melaksanakan undang-undang anti-lompat parti di Sabah bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang,” katanya semasa membahaskan Titah Diraja di parlimen pada Rabu.
Pada 6 Februari lalu, tiga Adun Warisan, termasuk ketua wanita parti mengumumkan keluar parti dan menjadi calon bebas yang memihak kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Mohd Shafie juga mendakwa beliau mempunyai bukti video bahawa tiga Adun ditawarkan wang sebagai dorongan dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya.
Lo Su Fui (GRS-Tawau) kemudiannya berdiri untuk meminta Shafie segera memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.
"Ketiga-tiga Adun itu menjadi bebas dan anda mesti tunjukkan bukti atau saya mahu anda menarik balik dakwaan serius ini terhadap ketua menteri Sabah," katanya.
Sehubungan itu, Shafie berkata, beliau akan menyerahkan sendiri bukti video tersebut kepada Su Fui.
Su Fui kemudian berkata, tidak ada gunanya membuat dakwaan serius sedemikian tanpa mempunyai sebarang bukti untuk menyokongnya.
“Tolong bawa semuanya ke mahkamah dan jangan buat fitnah di sini,” katanya.
Keputusan ketiga-tiga mereka untuk meninggalkan parti itu dibuat sebulan selepas Warisan, yang diketuai Shafie bersama-sama Barisan Nasional Sabah dan Parti KDM cuba menjatuhkan kerajaan Hajiji.
Tindakan ketiga-tiga mereka akan membolehkan kerajaan Hajiji memperoleh majoriti 47 kerusi yang lebih selesa dalam dewan yang dianggotai 79 anggota selepas cubaan rampasan kuasa politik gagal.
Pada 6 Januari, Hajiji telah terselamat daripada rampasan kuasa dengan sokongan tujuh Adun Pakatan Harapan Sabah dan lima Barisan-Umno Sabah (termasuk seorang yang bersekutu dengan Umno) untuk memegang kerajaannya yang berusia 27 bulan.
Dengan perkembangan terkini, ancaman Barisan-Warisan-KDM yang berlegar-legar untuk cuba menjatuhkan kerajaan Hajiji sekali lagi dijangka akan gagal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram