SOSMA di bawah kuasa Eksekutif, tak boleh dipinda


  • Massa
  • Rabu, 28 Dis 2022

Antara pesalah yang menghadapi pertuduhan bawah SOSMA di Pulau Pinang pada 2018.

SELEPAS menerima asakan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akhirnya bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo meminta Menteri Dalam Negeri itu melakukan semakan semula bagi membuat beberapa perubahan ke atas SOSMA.

Ini kerana, katanya, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berpendirian, penguatkuasaan SOSMA adalah bermasalah selain bersifat menindas, biarpun mengakui terdapat keperluan perundangan bagi mengatasi sebarang isu berbangkit membabitkan keselamatan negara.

Tampil mengulas, Datuk Hussin Awang Ngah berkata, perkara itu tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia di bawah kuasa Eksekutif, yang antara lain membuat keputusan mengenai polisi dan menguatkuasakan undang-undang.

2946B461-75A1-4D97-B9F2-C7322DC498D3-780x470

Hussin Awang Ngah

Jelas Presiden Persatuan Kebajikan Vateran Polis Malaysia (VPOL) itu, perkara yang berada di bawah kuasa Eksekutif tidak boleh dipinda.

"Sebagai contoh, kuasa Majlis Raja-Raja, tiada yang boleh mempertikaikan kuasa tersebut.

"Tambahan pula, kita juga mengutamakan fungsi keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Keamanan yang kita ada sekarang sampai lebih 60 tahun yang mana kita hidup aman dengan adanya pelaksanaan undang-undang seperti ini," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilapor sebagai berkata, SOSMA tidak wajar dihapuskan kerana masih diperlukan bagi menjaga keselamatan negara daripada keganasan penjenayah berkumpulan atau individu.

Sebaliknya, beliau yang mengetuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2006 hingga 2010 berkata, kerajaan perlu menambah baik dan mengkaji semula peruntukan dalam SOSMA.

file7105n55vs3d1m7quifsh

Gesaan untuk meminda segera akta Sosma dibuat pada 2018.

Mengulas lanjut, Hussin Awang Ngah menambah, penahanan individu yang disyaki bersalah perlu dilakukan secara keras bagi menjaga integriti PDRM.

"Sebagai contoh pada suatu masa dulu, polis dilarang menahan pesalah secara kasar. Saya masih ingat lagi perkara ini dibicara di Parlimen supaya polis tak boleh menahan mana-mana pesalah secara kasar.

"Sebelum ini, ada kes mat rempit melakukan aksi wheely di hadapan anggota polis. Ini seperti mencabar kuasa polis," tambahnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan kerajaan supaya mewujudkan satu kementerian khas hanya untuk PDRM bagi memantapkan keselamatan negara.

Hal ini disebabkan terlampau banyak agensi keselamatan diwujudkan dalam satu Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti PDRM, Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Penjara, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram