Tambah pekerja antara usaha atasi isu bekalan telur menjelang Ramadan — Mohamad


  • Primer
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Pengeluaran telur ayam dijangka akan kembali stabil dengan penambahan tenaga pekerja. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam menjelang bulan Ramadan nanti.

Menterinya, Datuk Mohamad Sabu berkata, pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha untuk menambahkan pekerja dalam sektor pertanian dan sektor yang lain bagi tujuan itu.

"Kementerian sedang mengatasi masalah bekalan telur ayam, memang setiap kali menjelang perayaan penggunaan telur ayam lebih tinggi dan masalah kekurangan telur ini juga dihadapi negara lain.

"Kebimbangan tetap ada, masuk sahaja Ramadan, penggunaan telur dan bahan yang lain akan meningkat, sebab itu kita kena bincang dengan pihak pengusaha supaya melipat gandakan pengeluaran daripada sekarang, itu kita harapkan.

"Kalau mereka tidak cukup pekerja kita cuba atasi dengan memberi laluan mudah untuk menambahkan pekerja, masalah utama pengusaha selain kenaikan harga makanan adalah kekurangan pekerja," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan mengenai keluhan pengusaha kuih raya yang bimbang perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan Malaysia akan terus menyokong dan bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Katanya, program tentang kesedaran memperjuangkan rakyat Palestin perlu diteruskan dan kini semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Eropah memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.

"Ahli Parlimen di Eropah juga berani mengecam sikap kerajaan mereka yang terus membantu kerajaan Israel yang membunuh rakyat Palestin setiap hari," katanya.

Sementara itu, Penasihat ICPKL 2023 Fauziah Mohd Hasan berkata, 500 delegasi daripada 20 negara turut menyertai program pada Sabtu yang bertemakan 'The Caged Eye', iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin dikurung dalam penjara rejim Zionis.

Dr Fauziah berkata, 4,450 warga Palestin dipenjara oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram