SPRM fokus kes 'jerung', PM setuju perlindungan pemberi maklumat dipertingkat


  • Primer
  • Selasa, 14 Feb 2023

Anwar Ibrahim mengkaji peruntukan dalam undang-undang bagi meningkatkan perlindungan kepada pemberi maklumat. — Bernama

KERAJAAN sedang mengkaji peruntukan dalam undang-undang berkaitan bagi meningkatkan perlindungan kepada pemberi maklumat yang melaporkan kes rasuah dan salah laku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia antara fokus utama beliau kerana terdapat ramai pemberi maklumat termasuk penjawat awam yang mungkin berasa tidak selamat untuk melaporkan kes seumpama itu kerana mendapat tekanan.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan dari segi undang-undang bahawa ia tidak akan memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan palsu atau fitnah.

“Jadi, dalam usaha mendapatkan fakta dan maklumat, saya bersetuju dengan gesaan pindaan itu dan selewat-lewatnya kita akan bentangkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mas Ermieyati ingin tahu komitmen kerajaan untuk meminda undang-undang berkaitan perlindungan pemberi maklumat yang perlu dilakukan secepat mungkin seperti yang disarankan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) mengenai Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah.

Menjawab soalan Lo Sui Fui dari GRS-Tawau mengenai strategi penambahbaikan bagi memastikan siasatan kes rasuah memberi impak dan kesan sebenar, Anwar berkata, tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini ialah kes rasuah berskala besar.

"Kerana kalau dulu terlalu banyak masa dan tenaga ditumpukan untuk menangkap ikan-ikan bilis ini yang tak akan banyak membantu kerana rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.

"Saya percaya penumpuan kepada kes skala besar yang telah dan sedang dijalankan akan memastikan bahawa rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik bahawa SPRM lebih agresif,” katanya.

Menurut Anwar, antara kes berskala besar yang disiasat ialah skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), sindiket curi elektrik melibatkan lombong bitcoin, tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya dan sindiket pengurangan saman trafik.

Menjawab soalan tambahan Lo berkenaan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik, Anwar berkata, kerajaan komited untuk meneruskannya, namun ia masih di peringkat awal kerana beberapa laporan perlu diteliti sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram