
SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaiki bersama enam individu lain karam di Song, Kapit, Sarawak pada Ahad lepas ditemukan lemas pada Selasa.
Mayat Gawing Mancha, 47, ditemukan terapung pagi Selasa di Sungai Rajang berdekatan sebuah kem pembalakan, 13 kilometer di hilir lokasi kejadian tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pusat kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Song menerima maklumat penemuan mayat terapung daripada orang ramai pada pukul 6.57 pagi.
"Pasukan penyelamat tiba di lokasi penemuan mayat pada pukul 7.50 pagi dan membawa mayat ke jeti Song untuk diserahkan kepada pihak polis,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Ahad lepas, Gawing bersama enam penumpang termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam perjalanan ke pekan Song dari Rumah Ekeh, Nanga Apan sebelum perahu yang mereka naiki karam setibanya di muara Sungai Song.
Semua penumpang lain selamat dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Song, Superintendan Rowney Michael Jalak sebelum ini dilaporkan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila perahu yang dinaiki dipukul ombak sungai disebabkan fenomena pertembungan ombak Sungai Song dan Sungai Rajang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram