[VIDEO] Selamatkan diri dihanyut arus deras, puluhan kenderaan terkandas akibat banjir lumpur Bukit Tinggi


  • Tular
  • Isnin, 13 Feb 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan banjir lumpur pada Ahad.

HUJAN lebat yang menyebabkan banjir lumpur menyebabkan kesukaran orang ramai untuk bergerak di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang pada Ahad petang.

Menerusi video tular, kejadian yang berlaku sekitar pukul 6.30 petang itu memaparkan orang ramai berlindung di dalam puluhan kereta yang kebanyakan terkandas di sebuah tempat letak kereta.

Selain itu, beberapa individu juga dilihat bersusah-payah menyelamatkan diri daripada arus banjir yang deras.

Banjir lumpur itu menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang kerosakan harta benda awam, kenderaan serta meragut nyawa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd Shafie Sulong dilapor berkata, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang dipindahkan setakat 8.30 malam Ahad akibat kejadian berkenaan.

"Bagaimanapun laluan Bukit Tinggi-Janda Baik dan Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong berkata, Jalan Kuala Lumpur - Bentong (jalan lama) FT68 iaitu kira kira 100 meter ke simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan kerana tanah runtuh sepanjang 100 meter.

Menurut kenyataan itu, pengguna diminta menggunakan jalan alternatif iaitu Lebuhraya KL-Karak ke Janda Baik dari arah Bentong.

Katanya, kerja pemasangan papan tanda bagi penutupan laluan sedang dilakukan bagi memberi amaran kepada pengguna.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mendesak kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi kementerian atau agensi yang berkaitan untuk segera menyiasat kejadian banjir lumpur tersebut.

Beliau berkata, ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai setahun, yang mana sebelum ini kejadian sama berlaku pada Mei 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram